Doktor pakar antara dituduh palsukan borang daftar kelahiran  - Utusan Malaysia

Doktor pakar antara dituduh palsukan borang daftar kelahiran 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiga individu termasuk seorang doktor pakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memalsukan borang daftar kelahiran bayi di sebuah pusat perubatan swasta di sini, enam tahun lalu.

Tertuduh iaitu Dr. Yeoh Gim Hooi, 51, serta pasangan suami isteri, Yap Kok Leong, 59, dan Sai Chom, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama memalsukan dokumen iaitu borang daftar kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seorang bayi dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di pusat perubatan berkenaan kira-kira pukul 7.24 malam, 22 Januari 2014 dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Murtazadi Amran,  Gim Hooi membuat pengakuan sama atas dua lagi pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri palsu iaitu borang daftar kelahiran JPN bayi pada 19 September 2019 dan 24 Februari lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pusat perubatan swasta berkenaan bagi memudahkan perbuatan pemerdagangan orang dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Pasangan suami isteri, Kok Leong dan Sai di mahkamah sama juga membuat pengakuan tidak bersalah bagi dua pertuduhan memperdagangkan bayi berusia empat hari dan tiga bulan di sini pada 22 September 2019 dan 28 Februari lepas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud eksploitasi iaitu pemindahan milikan jagaan ke atas bayi terbabit dengan pertukaran wang ringgit.

Perbuatan itu menyalahi Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Atipsom dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lagi individu, Ooi Hui Siang, 30, yang dituduh bersubahat dengan pasangan suami isteri terbabit pada 28 Februari lepas turut minta dibicarakan.

Di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, seorang pengurus wilayah syarikat swasta, Lim Say Wei, 37, mengaku tidak bersalah menggunakan borang daftar kelahiran yang palsu di JPN Kedah pada 1 Mac lalu.

Mahkamah membenarkan Gim Hooi diikat jamin sebanyak RM38,000; Kok Leong dan Sai masing-masing RM44,000; Hui Siang RM15,000 dan Say Wei RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dihadapi mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail manakala Gim Hooi diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid; Kok Leong dan Sai diwakili peguam, Eng Yuh Pei dan Say Wei diwakili peguam, S. Shathishbhabu manakala Hui Siang tidak diwakili peguam.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN