PETALING JAYA: Mahkamah membenarkan perintah tahanan reman terhadap pendakwah selebriti dilanjutkan lima hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol.
Perintah reman sehingga 11 Disember ini terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya, Siti Mazrah Mohamad.
Suspek yang tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi diwakili Peguam, Syed Amirul Syed Edros sempat memberikan senyuman dan menyapa wartawan dengan bertanya khabar.
“Assalamuailaikum, terima kasih datang, makan okey semua, doakan saya, insya-Allah ya,” katanya yang memakai pakaian lokap berwarna ungu sambil bergari dan diiringi anggota polis.
Dalam pada itu, menurut sumber, permohonan reman terhadap suspek adalah berkaitan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Jelas sumber, kes reman terhadap suspek berkaitan satu laporan polis seorang guru yang mendakwa dirogol suspek di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Semalam, pendakwah selebriti yang direman bagi siasatan berhubung kes rogol dan cabul ditahan pula oleh polis IPD Petaling Jaya sebaik sahaja dibebaskan pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap individu berkenaan susulan dua laporan di daerah tersebut.
Sebelum ini, suspek ditahan pada 26 September lalu selepas hadir memberikan keterangan di IPD Shah Alam berhubung laporan yang dibuat mangsa merupakan seorang bekas jurujual yang didakwa dirogol selepas keluar dengan pendakwah itu pada 11 September tahun lalu.
Susulan penahanan itu, suspek direman lima hari bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, 1 Disember lalu, perintah reman terhadap suspek disambung lima hari lagi bagi membantu siasatan.
Kes seksual berkaitan pendakwah selebriti ini mendapat perhatian apabila lapan laporan polis diterima iaitu di daerah ini, Shah Alam dan Subang Jaya yang melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol, Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii dan Seksyen 354 kanun sama iaitu mencabul. – UTUSAN ONLINE