Ditipu individu menyamar bapa - Utusan Malaysia

Ditipu individu menyamar bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang suri rumah kerugian RM1,500 selepas memindahkan wang kepada akaun milik individu menyamar sebagai bapanya. 

Wanita berusia lewat 20-an tersebut dihubungi individu menyamar bapanya melalui aplikasi WhatsApp pada 29 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek menggunakan gambar bapa mangsa dalam profil aplikasi tersebut.

“Suspek minta RM1,500 dan perlu dimasukkan melalui akaun ‘Ustaz Saipul’. Mangsa memasukkan wang melalui dua transaksi seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ujar Mohd. Wazir, sejurus wang dipindahkan melalui transaksi secara dalam talian, mangsa bersama suaminya cuba menghubungi nombor telefon tersebut, namun tidak berjaya.

“Wanita itu cuba pula menghubungi bapanya melalui nombor telefon yang biasa digunakan dan berjaya.

“Apabila ditanya tentang perkara tersebut, bapanya menafikan perbualan melalui WhatsApp untuk meminjam wang,” katanya.

Menyedari tertipu, suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Melati di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN