REMBAU: Seorang pemilik ladang tidak menyangka sasaran tembakan ke atas kelibat yang disangka babi liar rupa-rupanya mengenai pekerjanya sendiri dalam kejadian di sebuah kebun di kawasan Kota, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa iaitu warganegara Indonesia berusia 30-an terus dibawa ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, berdasarkan siasatan awal, pemilik ladang berusia lingkungan 70-an ternampak kelibat seperti seekor babi liar mahu memakan buah nangka yang gugur dari pokok.
“Dia melepaskan satu das tembakan menggunakan selaras senapang Shot Gun jenis Bennely miliknya.
“Sejurus selepas melepaskan tembakan, dia terdengar suara lelaki menjerit dan kemudian menghampiri lokasi didapati pekerjanya seorang lelaki warganegara Indonesia terkena tembakan di kaki. Dia kemudian membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, pemilik ladang itu membuat laporan polis tertembak pekerjanya sendiri dan siasatan lanjut mendapati dia mempunyai lesen pemilikan senjata api.
Katanya, polis dengan bantuan Pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menjalankan siasatan di tempat kejadian dan membuat tangkapan terhadapnya.
“Turut dirampas selaras Shotgun Bennely Armi System 12 Bore S/B, beg sandang warna hitam, buku lesen memiliki sejata dan peluru serta 17 butir peluru penabur pelbagai jenama.
“Mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Tampin mengalami kecederaan tembakan di paha serta kaki kiri berada dalam keadaan stabil dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ‘pallet’ penabur di bahagian paha serta kakinya,” katanya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ramlah Alidin di talian 011-10944096 atau pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999. – UTUSAN ONLINE