KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan cabul dipercayai menggunakan kapasitinya sebagai seorang da’i untuk mengajak mangsa keluar makan sebelum melakukan kegiatan terkutuk.
Itu modus operandi yang dipercayai digunakan pendakwah muda itu yang kini masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan tujuh laporan membabitkan rogol dan cabul.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek menerusi mesej peribadi di Instagram sebelum dipelawa untuk berkenalan dan keluar makan.
Katanya, kesemua mangsa dikenali itu adalah pengikut laman Instagram suspek.
“Dalam tempoh pengenalan itu, suspek mempedaya mangsa-mangsa tersebut dengan menggunakan kapasiti sebagai seorang da’i sebelum mempelawa mereka ke rumah.
“Suspek akan melakukan kegiatan terkutuk seperti dilaporkan mangsa ketika berada di rumahnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Kata Huzir, sehingga kini tujuh laporan diterima membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE