JOHOR BAHRU: Seorang pembantu kedai makan dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dakwaan memiliki dadah pada Disember 2017.
Tertuduh, Muhammad Azmi Azua, 29, dijatuhkan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Dr Shahanaz Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki 338 gram dadah berbahaya jenis kanabis..
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau-Kota Tinggi, Kampung Melayu Majidee di sini pada pukul 9.45 malam, 30 Disember 2017.
Terdahulu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 10 sebatan.
Dalam pendakwaan kes tersebut, peguam tertuduh, F. Vijayaretnam memberitahu mahkamah bahawa kesalahan berkenaan adalah kesalahan pertama tertuduh dan kanabis yang ditemukan melibatkan jumlah yang kecil untuk kegunaan tertuduh dan rakannya yang lain.
Katanya, tertuduh tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak pernah mendapat pendidikan persekolahan formal walaupun dilahirkan di negara ini.
Ujarnya, sejak berusia 15 tahun, tertuduh bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah harian antara RM35 hingga RM40 untuk membantu keluarganya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang. – UTUSAN ONLINE