Dedahkan jenama daging guna logo halal palsu - Utusan Malaysia

Dedahkan jenama daging guna logo halal palsu

MUHAMMED FARHAN BASHEER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan didesak mendedahkan jenama terlibat kes kartel daging yang menggunakan logo halal palsu bagi membolehkan masyarakat khususnya umat Islam dapat menghentikan pembelian serta-merta produk berkenaan.

Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, tindakan mendedahkan jenama melakukan kesalahan bukanlah sesuatu baharu kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pernah melakukan perkara sama sebelum ini.

“Oleh itu, kami mendesak kerajaan mendedahkan jenama yang terlibat dengan kartel ini seperti mana mereka lakukan untuk pelbagai produk lain sebelum ini. 

“Kita mempunyai senarai sekurang-kurangnya enam jenama daging terlibat tetapi kerajaan sewajarnya mendedahkan perkara tersebut. Malah perlu mengheret pihak terlibat dengan kartel ini ke mahkamah dan dalam masa sama, penguatkuasaan mesti dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan seperti ini dibanteras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Sehubungan itu, Muhammad Farhan turut mengesa kerajaan memperhalusi cadangan supaya hanya membenarkan import ternakan hidup bagi menamatkan kegiatan kartel serta jaminan bekalan daging halal berkualiti.

“Lembu, kambing atau kerbau import akan disembelih di rumah sembelihan milik jabatan atau persendirian yang ada persijilan halal. 

“Ia kemudian diproses, disejuk beku dan disimpan sebelum diedarkan untuk memenuhi pasaran domestik sahaja. Dengan ini, kita dapat jaminan bekalan daging halal serta berkualiti,” ujarnya

Tambah Muhammed Farhan, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ekosistem bagi rantaian pembekalan daging halal bersepadu serta penggunaan logo dan jenama khas untuk produk daging halal di negara ini.

“Sementara itu, siasatan terperinci berhubung isu ini perlu dilakukan dengan kadar segera dan telus terhadap pemegang lesen import (AP) daging di mana tindakan tegas perlu diambil jika ada antara mereka terlibat dengan kartel tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya