GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dadah bernilai RM105.9 juta selepas menahan seorang keldai dadah di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi, Teluk Kumbar, di sini Rabu lalu.
Suspek lelaki tempatan berusia 26 tahun itu diberkas selepas bot pemancing yang dikemudinya terserempak dengan anggota pasukan terbabit yang ketika itu membuat rondaan Op Pertiwi kira-kira pukul 11.30 pagi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, anggotanya menahan bot suspek yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika dikesan dari Sungai Juru, Seberang Perai Tengah menghala ke Pulau Kendi.
Katanya, suspek enggan memberi kerjasama ketika anggota mengarahkannya berhenti sebelum bertindak terjun ke laut.
“Sebelum itu, bot Maritim Malaysia mengejar bot suspek kira-kira setengah jam selepas dia membiarkan bot tersebut meluncur laju ketika diarahkan berhenti.
“Anggota menarik suspek naik sebelum memberhentikan bot berkenaan di lokasi berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan di atas bot suspek menemukan sebanyak 130 guni berwarna kuning yang mengandungi 1,998 bungkusan minuman teh Cina berisi dadah jenis Methamphetamine dengan keseluruhan berat 2,118 kilogram.
Katanya, suspek ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya termasuk mengesan saki-baki terutama ketua sindiket terlibat. – UTUSAN ONLINE