JOHOR BAHRU: Pusat perniagaan B5 Johor Street Market, di sini diarahkan ditutup sementara bermula semalam sehingga Ahad ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, penutupan itu dibuat sebagai memberi ruang kerja-kerja sanitasi di premis berkenaan.
“Ia dibuat ekoran terdapat kes jangkitan Covid-19. Premis diarahkan tutup bermula semalam hingga 19 Disember ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihak pengurusan B5 Johor Street Market mengesahkan menerima arahan Kementerian Kesihatan untuk menutup premis itu bermula semalam hingga Ahad ini.
“Pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya dan bekerjasama erat dengan kementerian bagi menangani isu ini.
“Ia termasuk mengarahkan semua premis ditutup dengan kadar segera selain turut melaksanakan kerja-kerja sanitasi secara berkala demi menjamin kesejahteraan bersama,” kata pengurusan pusat itu menerusi satu kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi.
Tambah kenyataan itu, Notis Perintah Tutup Premis itu dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sebelum ini, sebuah pusat beli-belah bersebelahan dengan B5 ini turut diarahkan menghentikan sementara operasi bermula 7 Disember lalu sehingga hari ini. – UTUSAN ONLINE