Cipta lebih banyak peluang pekerjaan, atasi pengangguran - Utusan Malaysia

Cipta lebih banyak peluang pekerjaan, atasi pengangguran

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Inisiatif penciptaan pekerjaan bermula tahun depan diyakini lebih terancang dan dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu serta berkesan menerusii penubuhan Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu dipandu oleh Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional yang dibangunkan kelak bagi memacu Malaysia ke tahap lebih tinggi serta menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, NEC dibentuk bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’.

“NEC adalah majlis tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif kerajaan khususnya dalam mencapai sasaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menangani isu pengangguran,” katanya.

Dalam mesyuarat pertama NEC yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini, menetapkan komitmen kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh.

Ini termasuk berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.

Jelasnya, NEC memainkan peranan penting bukan sahaja bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan bahkan menangani isu-isu lain yang berkaitan seperti kekurangan pekerja di sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan penggajian.

Majlis yang dianggotai menteri-menteri berkaitan turut disertai wakil sektor swasta dan industri yang akan diumumkan kelak.

“Selain itu, NEC disokong sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang bertindak menyelaras lima Pasukan Petugas Khas peringkat jawatan kuasa kerja.

“Pasukan Petugas Khas ini bertanggungjawab melaporkan status pelaksanaan di bawah kluster masing-masing kepada Pasukan Petugas Peringkat Tinggi secara bulanan,” katanya.
Lima Pasukan petugas khas itu ialah Pasukan Petugas Khas Pendidikan Nasional, Pasukan Petugas Khas TVET, Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan, Pasukan Petugas Khas Real Economy dan Pasukan Petugas Khas Deeptech & Future Skills.

Dalam pada itu, kata kenyataan itu, Unit Laksana Kementerian Kewangan bertindak selaku Sekretariat NEC dan memantau kemajuan pelaksanaan setiap program di bawah inisiatif NEC supaya lebih efektif berpandukan penilaian bersesuaian dari masa ke masa.

Selaras penubuhan NEC, katanya, warganegara yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mula mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang merupakan pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya