KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya berusia enam tahun dan 14 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggeselkan kemaluan pada badan anak perempuannya yang berusia enam tahun di Kampung Pangkal Kuang, Machang kira-kira pukul 5 petang, pada 1 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan tangan ke dalam seluar anak perempuannya itu di lokasi sama kira-kira pukul 10 malam pada 2 November lalu.
Pendakwaan terhadap dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang lagi anak perempuannya yang berusia 14 tahun di lokasi sama kira-kira pukul 5.30 petang pada Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana khuatir tertuduh mengganggu mangsa manakala Syed Muhammad Syafiq memohon ikat jamin dan berjanji tertuduh tidak akan berbuat demikian.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE