Bukti ahli parlimen sedar kepentingan Belanjawan 2021 demi rakyat -PM - Utusan Malaysia

Bukti ahli parlimen sedar kepentingan Belanjawan 2021 demi rakyat -PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kesyukuran berikutan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan Dewan Rakyat hari ini. 

Perdana Menteri menghargai sokongan semua ahli parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatan kuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

Pada masa sama, beliau merakamkan terima kasih kepada semua ahli parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang itu ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagian.

“Sokongan padu ini membuktikan kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil. 

“Ini juga membuktikan ahli-ahli parlimen yang menyokong menyedari Belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang.

“Ini dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik Covid-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong belanjawan itu turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu belanjawan diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19.

“Saya harap ahli-ahli parlimen dapat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara. 

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementeriannya yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini,” katanya.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada seluruh rakyat yang dengan ikhlas  mendoakan agar Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya