GEORGETOWN: Bot penumpang laju akan menggantikan perkhidmatan feri yang sudah digunakan sejak 126 tahun di negeri ini bagi menghubungkan penumpang antara pulau dan Perai bermula 1 Januari ini.
Feri sedia ada juga hanya digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama sekali gus berakhirnya perkhidmatan feri untuk kenderaan empat roda di negeri ini.
Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng yang turut memaklumkan, penambahbaikan itu dilaksanakan secara interim bermula 1 Januari ini hingga 30 Jun 2022 sebelum perkhidmatan katamaran atau teksi air diperkenalkan selepas tarikh tersebut.
Ujarnya, dua bot laju yang digunakan itu mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari.
Sepanjang tempoh itu juga, kata beliau, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda, Georgetown dan Sultan Abdul Halim, Butterworth diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di Georgetown dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
“Usaha ini dilakukan ke arah menyediakan perkhidmatan feri yang lebih cekap dan terminal yang lebih selesa. Kita memberi jaminan tambang kekal seperti sedia ada sepanjang tempoh perkhidmatan interim ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Port Sdn. Bhd., V. Sasedharan dan Pengurus Besar SPPP, Monaliza Suhaimi.
Menurut Teik Cheng, selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal, perkhidmatan bot laju itu digantikan dengan feri baharu iaitu katamaran dan ‘vehicle transporter’.
Tambah beliau, di bawah pengendalian Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), sebanyak tiga buah katamaran disediakan yang berkemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan kepantasan antara 10 hingga ke 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari.
Ujarnya, ‘vehicle transporter’ yang akan diperkenal pula hanya boleh digunakan oleh pengguna basikal dan pembonceng motosikal dengan pengecualian kepada kenderaan empat roda bagi situasi kecemasan sahaja.
“Penggantian kepada bot jenis katamaran ini juga mengambil kira penjimatan yang dapat dilakukan memandangkan bot jenis ini mudah diselenggara.
“Berbanding feri sedia ada ketika ini, kos membaiki sebuah feri mencecah sehingga RM2.2 juta dan kita juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweeden.
“Keadaan menjadi lebih sukar untuk kita menyelenggara feri sedia ada tahun ini apabila kita turut berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN