KANGAR: Rakyat negeri ini diseru menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya sepenuh masa atau sampingan bagi menjana pendapatan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan belia juga digalakkan kembali ke negeri ini dan menceburi bidang pertanian melalui amalan teknologi terkini.
“Jabatan dan agensi pelaksana khususnya di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu memainkan peranan bagi memastikan kesinambungan segala projek dan insentif yang disediakan mencapai objektif serta matlamat ditetapkan.
“Pemantauan dari masa ke semasa dan khidmat nasihat serta program-program latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengetahuan para peserta juga harus dilaksanakan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau kebun tanaman sawi dan kangkung yang diusahakan oleh Shahidan Hamid di Kampung Tok Kaya, Kuala Perlis di sini hari ini.
Antara yang ditanam dalam perusahaan yang mendapat bimbingan Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) negeri di kebun tersebut ialah pokok daun selon, kesum, bunga ros, bunga kemboja, kunyit hitam, limau kasturi, limau nipis, jambu batu tanpa biji serta betik sekaki.
Keberangkatan baginda bersempena aktiviti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-68 yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Firdaus Padang Besar Selatan.
Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih.
Pada kesempatan yang sama, baginda menyarankan pihak-pihak berwajib agar mempelbagaikan lagi insentif pertanian yang secara langsung mampu memberi manfaat kepada golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan untuk menjana pendapatan. – UTUSAN ONLINE