KUALA LUMPUR: Dua perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan Datuk Seri Najib Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disambung awal tahun depan bagi memberi laluan kepada beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang dihadapi Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi di sini selama empat hari sehingga Khamis ini.
Kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dijadualkan selama empat hari bermula 14 Disember ini.
Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu ketika ditemui pemberita berkata, perbicaraan kes pindaan laporan Pengauditan 1MDB ditangguhkan kepada 18 Januari depan dan kes rasuah pada 4 Januari ini.
Nur Syahirah berkata, pihaknya menulis surat melalui emel kepada Mahkamah Tinggi minggu lalu bagi memohon supaya kedua-dua perbicaraan ditangguhkan bagi membolehkan Najib menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.
Dewan Rakyat bersambung minggu ini dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di peringkat jawatan kuasa.
Nur Syahirah ditemui selepas pengurusan kedua-dua kes di hadapan dua Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad dan Catherine Nicholas yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.
Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang ‘dimuktamadkan’ oleh Ketua Audit Negara sebelum ia ‘dimuktamadkan sekali lagi’ dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan isu 1MDB.
Najib juga berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib dibicarakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya manakala bagi pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB bersama-sama Arul Kanda, beliau dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – UTUSAN ONLINE