KOTA TINGGI: Seorang lelaki sanggup berpanas terik sepanjang hari di lampu isyarat menjual jeruk mangga asam boi untuk menyara isteri dan keluarga di persimpangan lampu isyarat berhampiran Econsave Taman Damai di sini.
Demikian pengorbanan Muhammad Nasib Zakir, 24, selepas pekerjaannya sebagai kelindan lori ditamatkan sejurus pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun ini.
Katanya, dia menjual jeruk mangga asam boi tersebut sepenuh masa bagi menampung perbelajaan keluarga lebih-lebih lagi isterinya bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.
“Saya perlu cari duit yang lebih untuk menyambut cahaya mata baharu. Saya mahu isteri dan anak cukup keperluan makan minum mereka,” katanya di sini baru-baru ini.
Muhammad Nasib berkata, jika sebelum ini pendapatan bulanan bekerja sebagai kelindan RM1,300 tetapi hasil menjual mangga asam boi itu sekitar RM60 hingga RM80 sehari.
“Hasil jualan jeruk ini banyak bergantung pada cuaca iaitu jika hujan merudumlah pendapatan saya pada hari tersebut,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu mengeluh kerana berpegang kepada prinsip rezeki ada di mana-mana dengan syarat kita tidak boleh berputus asa. – UTUSAN