Beri ruang, masa kepada Syafiq - Utusan Malaysia

Beri ruang, masa kepada Syafiq

AHMAD IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bapa kepada pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, meminta semua pihak khususnya media memberi ruang dan masa kepada anaknya itu bertenang daripada dugaan berat yang dihadapinya ketika ini.

Menurut Ahmad Ibrahim, 56, anaknya itu belum bersedia untuk berkongsi tragedi hitam terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, dekat sini awal pagi kelmarin.

Katanya, buat masa ini, anak sulungnya itu hanya mahu memberi tumpuan kepada isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini serta anak pe­rempuannya yang turut terbabit dalam kemalangan itu, Aaira Nur Saffiya, 2.

“Ramai yang menghubungi saya termasuk media untuk bercakap dengan Muhammad Syafiq, tetapi saya minta maaf kerana saya tidak boleh benarkan memandangkan masanya belum sesuai.

“Keutamaan Muhammad Syafiq ketika ini adalah memberi sepenuh tumpuan kepada isteri­nya supaya segera sembuh dan mengembalikan semula semangatnya yang terkesan ekoran kejadian tersebut.

“Jadi, saya memohon kepada semua sama-samalah kita berdoa supaya Muhammad Syafiq terus kuat dan tabah dengan ujian ini ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Ditanya mengenai keadaan Muhammad Syafiq, Ahmad berkata, anak sulung daripada empat beradik itu kelihatan semakin tenang dan positif.

Malah, katanya, Muhammad Syafiq ada memaklumkan dia menerima kejadian itu sebagai ujian daripada Allah SWT dan reda dengan apa yang berlaku.

“Dari luarannya, Muhammad Syafiq memang nampak sema­kin tenang, tetapi naluri sebagai seorang bapa, saya dapat merasakan yang dia sedang berusaha mengawal perasaan dan tidak mahu menunjukkan kesedihan.

“Apatah lagi, dia perlu menguatkan hati untuk memberi semangat kepada isterinya yang pastinya lebih terkesan dengan kejadian itu kerana kehilangan anak yang baru dilahirkan dan ibunya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, keadaan menantunya, Nur Amalina yang sedang dirawat di HSJ ketika ini juga semakin baik dan stabil manakala cucunya, Aaira Nur Saffiya sudah dibenarkan keluar hospital semalam.

Tambahnya, dia difahamkan Nur Amalina akan terus dirawat di HSJ sehingga sembuh dan dibenarkan keluar atas nasihat pakar perubatan yang mahu memantau keadaannya di hospital itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi kelmarin, kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq dilaporkan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di lebuh raya PLUS Sungai Bakap dekat sini sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.

Ekoran kejadian itu, Muhammad Syafiq kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh enam orang dengan dipandu oleh pemain tonggak skuad Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya