IPOH: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM99.6 juta bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukkan bagi tahun depan itu melibatkan sejumlah RM69.7 juta kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebagai belanja mengurus dan RM2.0 juta untuk belanja pembangunan.
Katanya, belanja pembangunan itu meliputi RM1.2 juta perbelanjaan penyelenggaraan masjid-masjid utama negeri, RM0.4 juta untuk aktiviti dakwah dan penguatkuasaan serta RM0.4 juta untuk pelbagai program dan aktiviti keagamaan.
“Selain JAIPk, Jabatan Mufti juga menerima peruntukan sebanyak RM3.8 juta manakala Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah masing-masing menerima peruntukkan berjumlah RM12.2 juta dan RM1.9 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak Tahun 2021 bertema ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini semalam.
Menurut Saarani, peruntukkan sebanyak RM10 juta juga disediakan bagi aktiviti mengimarah serta pembangunan fizikal masjid dan surau.
Katanya, setiap tahun peruntukkan itu dibelanjakan bagi pelaksanaan bina baharu dan naik taraf masjid serta surau yang meliputi kerja-kerja pembaikan serta penggantian permaidani.
“Bermula tahun hadapan, kerajaan negeri memfokuskan peruntukkan ini untuk program-program mengimarahkan masjid dan surau merangkumi program berkenaan ibadah dan akidah, kebajikan dan komuniti, keilmuan dan pendidikan, ekonomi dan kewangan serta dakwah.
“Kerajaan negeri juga memperakukan kerja-kerja awalan beberapa projek bina baharu masjid seperti di daerah Larut, Matang dan Selama, Batang Padan, dan Kerian selain naik taraf Masjid Sultan Idris Shah berjumlah RM43.5 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE