Belanjawan Perak 2021: RM290j untuk kemudahan prasarana - Utusan Malaysia

Belanjawan Perak 2021: RM290j untuk kemudahan prasarana

SAARANI Mohamad (kanan) dan barisan Exco kerajaan negeri mengaminkan bacaan doa sebelum membentangkan Belanjawan Perak 2021 dalam Sidang DUN Perak di Ipoh, semalam. - PEJABAT MB PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri memberi fokus kepada inisiatif menambah baik kemudahan prasarana dalam Belanjawan negeri 2021.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan RM290.4 juta kepada jabatan yang bertanggungjawab mengendalikan urusan tersebut.

Katanya, kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan negeri memperuntukkan RM169.8 juta merangkumi RM79.8 juta belanja mengurus dan RM90 juta untuk pembangunan insfrastruktur negeri termasuk projek bina baharu, naik taraf bangunan dan pembinaan serta pembaikan kemudahan prasarana perhubungan jalan raya serta jambatan.

Beliau berkata, selain projek-projek sambungan yang dalam proses pembinaan, beberapa projek baharu akan dimulakan pada tahun depan.

“Ia melibatkan pembinaan jalan alternatif pekan Ayer Tawar, Daerah Manjung; pembinaan jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Sungai Dulang sepanjang lapan kilometer di Daerah Bagan Datuk dan pembinaan persimpangan jalan baharu dari perkampungan Felda Sungai Klah ke Kolam Air Panas Sungkai, Daerah Batang Padang yang meningkatkan lagi sektor pelancongan di daerah tersebut.

“Projek baharu tahun depan juga merangkumi projek menggantikan dan melebarkan jambatan uzur di Enggor, Daerah Kuala Kangsar. Jambatan ini menghubungkan sembilan kampung dengan populasi 3,862 orang ke Pekan Karai.

“Selain itu, kerajaan negeri akan membina Balai Cerap di Segari yang menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan ilmu falak di samping menjadi pusat tarikan pelancong,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM5.3 juta untuk pelbagai projek merangkumi projek kecil bangunan dan pembaikan.

Menurutnya, komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana yang baik kepada rakyat dapat dilihat apabila peruntukan kepada JKR meningkat sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun 2020.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerima kenaikan peruntukan sebanyak 2.6 peratus kepada RM113.3 juta berbanding tahun 2020. Ini meliputi RM97.3 juta untuk belanja mengurus dan RM16 juta untuk belanja pembangunan.

“Daripada jumlah tersebut, RM8.5 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir di Daerah Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hilir Perak serta Kinta. RM5.9 juta untuk Rancangan Pengurusan Sungai dan Pantai, RM1 juta untuk pemuliharaan Sungai Kinta dan Saliran Pertanian RM0.6 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya