Belanjawan Perak 2021: RM26.7j pembangunan perumahan rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan Perak 2021: RM26.7j pembangunan perumahan rakyat

SAARANI Mohamad membentangkan Belanjawan Perak 2021 dalam Sidang DUN Perak di Ipoh semalam. -  PEJABAT MB PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak memperuntukkan sebanyak RM26.7 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi membangunkan perumahan untuk rakyat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi keperluan mengurus manakala RM10 juta lagi bagi pembangunan infrastruktur di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

Katanya, dalam sektor pertanian pula, sebanyak RM58.5 juta diperuntukkan bagi tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun ini.

“Sebanyak RM41.7 juta diperuntukkan belanja menurus manakala sebanyak RM16.8 juta adalah untuk belanja pembangunan.

“Jabatan Pertanian pula menerima peruntukan mengurus sebanyak RM24.2 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM8 juta yang dikhususkan bagi pembangunan industri tanaman, peningkatan teknologi pertanian, pembangunan modal insan dan pembangunan industri asas tani,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini semalam.

Saarani berkata, bagi tujuan pembangunan ternakan, sebanyak RM22.5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meliputi RM17.5 juta belanja mengurus dan RM5 juta untuk tujuan pembangunan.

Katanya, sebanyak RM1.5 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan padang ragut di seluruh negeri yang akan diperluas kepada para graduan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, dalam aspek alam sekitar, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk menjaga kelestariannya dengan memperuntukkan RM48.8 juta.

Dalam pada itu katanya, Perak turut berhasrat menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas karbon pada masa hadapan.

“Sebagai usaha awal, kerajaan negeri akan memperkenal kenderaan elektrik bagi menggantikan van-van teksi sedia ada sebagai pengangkutan utama. Kerajaan negeri telah menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM10 juta bagi usaha tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya