KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM63,430 dari 2018 hingga 2020.
Tertuduh, Mohd. Khairil Kamaruddin, 29, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Imigresen Johor membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Jamaludin Mat.
Dia didakwa melakukan lima pertuduhan pada 2018 selain 11 pertuduhan pada 2019 dan satu pertuduhan tahun ini.
Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd. Khairil didakwa memperoleh wang daripada dua individu berusia 29 tahun dan 37 tahun dengan nilai keseluruhan RM63,430 tanpa sebarang balasan.
Dia yang merupakan pegawai gred 19 didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Kuala Berang, Hulu Terengganu antara 20 Mac 2018 hingga 15 Januari 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.
Mahkamah menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN ONLINE