Bayi setahun hidup dengan air suam, kopi - Utusan Malaysia

Bayi setahun hidup dengan air suam, kopi

R. Usharani dan bayi perempuannya ketika ditemui pemberita di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Lembah Beriah, Bagan Serai semalam. - GAMBAR: WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Hilang tempat bergantung selepas suami menjalani hukuman penjara, seorang wanita hanya mampu memberikan bayi perempuannya yang berusia setahun dua bulan dengan air suam, kopi dan minuman bergas.

Usharani, 34, kini menumpang di rumah kawannya di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Lembah Beriah di sini sejak suaminya menjalani hukuman penjara pada September lalu.

Sebelum itu, dia  dan suami serta anak mereka tinggal di sebuah bangsal berhampiran jirat Cina di Jalan Batu 3, Changkat Lobak di sini.

“Selepas suami menjalani hukuman penjara, saya hilang tempat bergantung dan terpaksa keluar dari bangsal itu dan kini menumpang di rumah kawan saya di PPMS ini.

“Malah sehingga sekarang anak saya belum didaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Disebabkan kesusahan hidup,  Usharani terpaksa memberikan bayinya, Thevasena minum air suam, kopi dan minuman bergas.

Tindakannya tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp komuniti setempat di sini baru-baru ini.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberikan bantuan.

Antara yangmenghulurkan bantuan  ialah Ahli Parlimen Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Noor Azmi melalui Pegawai Khas Masyarakat India, S. Sargunan melawat wanita berkenaan semalam dan berjanji akan membantu wanita itu.

Menurut Sargunan, pihaknya memberikan sumbangan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang serta bantuan barang makanan setiap bulan.

“Kami juga akan membantu perkara berkaitan dokumen bayi ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN