Bapa tunggal cari rezeki bawa tiga anak - Utusan Malaysia

Bapa tunggal cari rezeki bawa tiga anak

MOHD. Hasrul Muda bersama tiga anaknya termasuk seorang kurang upaya di rumah sewa mereka di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang bapa tunggal di Kampung Pantai Ali di sini terpaksa keluar mencari rezeki dengan membawa tiga anaknya termasuk seorang yang kurang upaya sejak ditingalkan isterinya, kira-kira dua tahun lalu.

Mohd. Hasrul Muda, 44, yang menguruskan permata hatinya secara bersendirian hanya mampu bekerja sambilan dengan mengambil upah memotong rumput dan berkebun di sekitar kampung kerana komitmen terhadap anak-anak.

Katanya, menjadi rutinnya membawa Ahmad Firrayyan, 5, yang merupakan kanak-kanak autisme di samping Ahmad Brayyan, 7, dan Ahmad Daffaad, 3, ke kebun kerana ketiadaan individu untuk menjaga mereka di rumah.

“Tugasan menguruskan anak-anak di rumah menghalang saya keluar bekerja seperti bapa lain. Kalau ada yang menawarkan upah memotong rumput atau berkebun, saya terpaksa membawa mereka bersama.

“Pernah semasa menunggang motosikal ke kebun, kami empat beranak kemalangan ringan dan terjatuh ke dalam parit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Mohd. Hasrul yang sebelum ini berkhidmat di bahagian pemasaran di sebuah syarikat di Sarawak berkata, anak sulungnya, Ahmad Firrayyan sekadar mampu terbaring di samping masih tidak boleh bercakap hingga kini.

“Anak istimewa saya pernah diserang demam panas ketika berusia sebulan dan menginjak ke enam bulan didapati perkembangannya tidak seperti bayi lain dengan doktor turut mengesahkan dia mempunyai masalah autisme.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan bantuan bulanan RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan terutama keperluan lampin pakai buang dan susunya di samping sumbangan RM300 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi bayaran sewa rumah,” katanya.

Menurut Mohd. Hasrul, dia benar-benar berharap ada pihak yang sudi membantu atau menjadi pemudah cara bagi membolehkannya mencari rezeki dari rumah.

“Sebolehnya saya tidak mahu terlalu mengharapkan bantuan kerana masih mempunyai kudrat bekerja dan saya ada terfikir mahu menjalankan projek bersesuaian di kawasan rumah tetapi tiada duit bagi dijadikan modal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya