MARANG: Seorang bakal pengantin yang dijadual melangsungkan pernikahannya pagi ini dikhuatiri lemas di pantai sebuah resort di Kelulut di sini, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan untuk mandi-mandi selepas bersiar-siar bersama adik perempuannya.
Difahamkan, mangsa bersama keluarganya baru tiba ke negeri ini semalam dan menginap di resort berkenaan.
Pemuda itu dikatakan akan melangsungkan pernikahannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di Bukit Payung di daerah ini pada pukul 10 pagi dengan majlis resepsi sejam kemudian.
Terdahulu, bakal isteri mangsa yang turut berada di lokasi kejadian ditenangkan ahli keluarga susulan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan dengan kekuatan enam pegawai bersama 22 anggota termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu penduduk setempat.
“Radius pencarian tertumpu kira-kira tiga kilometer di pesisir pantai sehingga pukul 12 tengah malam sebelum disambung semula pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Sementara itu, di daerah sama, seorang lagi lelaki dipercayai lemas di Pantai Jambu Bongkok petang ini.
Mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang di Hulu Terengganu difahamkan manda-manda bersama enam lagi rakannya dan operasi pencarian mangsa giat dijalankan. – UTUSAN ONLINE