KUALA TERENGGANU: Impian untuk melangsungkan perkahwinan dengan insan tersayang yang tidak kesampaian, tunang kepada Naim Hariri Kamaruddin, 31, cuba menyembunyikan kesedihan dengan meluahkan rasa cintanya terhadap lelaki itu.
Luahan ‘saya cintakan awak, sayang’ itu dimuat naik Fatin Nabila Huda Ismail, 27, di akaun Twitter miliknya sekali gus berharap Allah SWT mempermudahkan urusan mereka berdua.
Kedua-dua pasangan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di Bukit Payung, Marang pada pukul 10 pagi semalam, namun majlis itu dibatalkan berikutan kehilangan Naim Hariri yang lemas dalam kejadian di Pantai Kelulut, Jumaat lalu.
“I love u my dear lillahi taala. Kau ampunkan dosa-dosa kami ya Allah, beri jalan buat kami ya Allah. Hanya kepada-Mu aku berserah. My dear dah janji nak jaga sayang, baliklah dear,” katanya dalam kenyataan di Twitter.
Mayat Naim Hariri dari Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 8.55 pagi ini di Pantai Alur Tuman, Marang kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Terdahulu, dalam hantaran terbaharu di Twitter, Fatin Nabila Huda mengucapkan terima kasih atas segala doa dan ucapan yang dikirimkan semua pihak kepadanya dan keluarga bakal suami.
Anak ketiga daripada enam beradik itu turut mendoakan kesejahteraan ramai di samping memohon diampunkan segala dosanya dan bakal suami.
“Lapangkan hati ini ya Allah untuk reda dengan ujianMu, dear dah selamat di sana, syahid meninggalkan dunia. Ramai doakan dear. Tinggal sayang dekat sini untuk teruskan hidup.
“Semoga nanti sayang juga meninggal dengan khusnol khotimah. Pengakhiran yang baik seperti dear. Allah sayang kita berdua, Allah sayang semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE