PUTRAJAYA: Seekor babi hutan yang menceroboh pusat beli-belah Alamanda di Presint 1 di sini semalam dikenal pasti berasal dari kawasan hutan berhampiran tasik di Presint 16.
Ia disahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Luar dan Taman Negara (Perhilitan) Wilayah Persekutuan menerusi hantaran dalam akaun media sosial Faceebok rasmi agensi itu, hari ini.
Pihaknya yang bekerjasama dengan Unit Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian itu dan mendapati haiwan berkenaan mungkin tersesat jauh.
“Binatang liar ini terpisah daripada kumpulannya, namun Perhilitan dan Perbadanan Putrajaya akan meningkatkan usaha pemantauan berterusan di lokasi insiden itu,” katanya.
Langkah tersebut, ujarnya, perlu bagi mengawal kadar populasi babi hutan di sekitar Putrajaya melalui pemasangan perangkap di beberapa lokasi yang dikenal pasti berpotensi dilaluinya.
Pada masa sama, Perbadanan Putrajaya dan Alamanda memberi jaminan menambah baik pengurusan sampah bagi mengelakkan kehadiran haiwan itu pada masa akan datang.
Dalam pada itu, hantaran berbeza dimuat naik Perhililtan sebelum itu menyatakan spesies tersebut dilindungi sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Menurut keterangan Perhilitan, terdapat dua jenis haiwan tersebut di Malaysia iaitu babi bodoh (bearded pig) atau nama saintifiknya Sus barbatus dan babi hutan (wild boar) atau Sus scrofa.
Berdasarkan contoh gambar disiarkan itu, hidupan berkenaan kemungkinan besar daripada jenis babi bodoh kerana ada janggut yang jelas dapat dilihat di bahagian bawah mukanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak memburu atau membunuh spesies itu termasuk dengan kaedah jerat selain menternaknya secara komersial atau dipamerkan di zoo tanpa kebenaran.
Dua babi liar tersebut termasuk dalam kelompok Jadual Pertama dan Kedua yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tempoh tertentu dan denda sejumlah amaun.
Mamalia ini kelazimannya hidup berkumpulan dalam kelompok 20 hingga 50 ekor dan ia adalah haiwan nokturnal iaitu aktif pada waktu malam tetapi berehat pada sebelah siang. – UTUSAN ONLINE