KUALA LUMPUR: Anugerah Nasyid Malaysia( ANAM 2020 ) yang akan diadakan pada 27 Disember bakal mempertandingkan 11 kategori berbeza.
Merupakan kerjasama antara Majlis Usahawan Nasyid Malaysia( MUNSYID Malaysia) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), majlis yang akan diadakan ini juga turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kali pertama diadakan, ANAM 2020 adalah salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai “The Home of Contemporary Nasyeed” di persada dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ANAM 2020, Muhamad Razin Che Mud berkata, penganjuran majlis anugerah itu akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa.
Tambahnya, mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia serta dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.
“Bagi pihak rakan-rakan aktivis nasyid tanah air, saya ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih kami kepada Kemneterian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas keprihatinan dan perhatian yang diberikan kepada pembangunan dan perkembangan industri nasyid Malaysia.
“Inilah kali pertama, industri nasyid Malaysia mendapat sokongan yang sebegitu besar oleh pihak kerajaan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan besar kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya.
“Maka penganjuran ANAM 2020 akan memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahupun pekerja di belakang tabir,” ujarnya.