Ambil iktibar peristiwa lalu - Agong - Utusan Malaysia

Ambil iktibar peristiwa lalu – Agong

AL SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak sentiasa bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada peristiwa serta  cabaran yang dilalui  tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti serta negara secara keseluruhannya.

Al-Sultan Abdullah dalam titahnya mendoakan agar keamanan negara dikekalkan berserta dengan keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat  yang sentiasa berpegang prinsip rukun negara serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada  petugas barisan hadapan di atas pengorbanan  tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  inginkan kesejahteraan  rakyat jelata terpelihara  dan amat bergantung kepada kestabilan politik serta pentadbiran negara.

“Sesungguhnya,  dalam usaha mengekalkan kestabilan tersebut, semua pihak khususnya ahli-ahli politik dinasihatkan supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik. Sebaliknya, ahli-ahli politik disarankan bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara,” titah Seri Paduka dalam kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seri Paduka melahirkan kegusaran dengan peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 dan meminta rakyat  sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Semoga dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan nanti dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara sekian lamanya,” titah  Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal mengharungi dugaan itu dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala.

“Penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara  memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek. Pandemik ini juga bukan sahaja mengancam keselamatan diri, malah menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara dan sosioekonomi rakyat.

“Ujian-ujian ini adalah sunnatullah bagi menguji hamba-Nya. Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha dan yakin bahawa dengan semangat perpaduan serta daya tahan yang jitu, kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian. Semoga tahun 2021 dikurniakan Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun lalu,” titah Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya