KUALA LUMPUR: Dalang utama kegiatan perjudian dalam talian, Alvin Goh dan Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.
Sumber berkata, Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, 32, akan ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis.
Menurut sumber, Addy Kanna pula ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang lagi anggota polis dari Kontinjen Selangor ditahan di Penjara Bentong, Pahang.
“Siasatan kes itu telah selesai. Hukuman selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu,” katanya di sini hari ini
Difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Oktober lalu, Alvin dan Addy ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China.
Puluhan pegawai serta anggota polis dan golongan selebriti turut dipanggil bagi membantu siasatan dalam kes melindungi penipuan dan kegiatan perjudian.- UTUSAN ONLINE