Alamanda sudah 'dibersihkan' - Utusan Malaysia

Alamanda sudah ‘dibersihkan’

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat beli-belah Alamanda di sini memberi jaminan sentiasa mengutamakan keselamatan orang ramai susulan insiden pencerobohan babi hutan di kompleks itu semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, pihak pengurusannya memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah berjaya dibendung serta-merta dan Alamanda terus dibuka beroperasi seperti biasa.

“Pada masa yang sama, ruang legar serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti dicerobohi oleh babi hutan berkenaan turut segera dibersihkan dan diurus sanitasi,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, insiden dikesan bermula pukul 12.20 tengah hari apabila haiwan itu dilihat menceroboh tempat letak kereta aras P3 setelah dipercayai tersesat dari hutan berhampiran.

Katanya, pengawal keselamatan bergegas untuk menghalau babi hutan itu keluar namun binatang liar tersebut meloloskan diri masuk ke dalam sebuah kedai yang terletak di tingkat LG.

“Sejurus selepas menerima maklumat itu, pihak pengurusan Alamanda segera bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya untuk bantuan susulan,” katanya.

Kedai itu dikosong dan diletakkan pagar penghalang sebelum ketibaan pasukan bomba untuk memudahkan kawalan keadaan serta berjaya diusir pada pukul 1.05 tengah hari.

Kes tersebut kini di bawah bidang kuasa dan pemantauan oleh pihak Jabatan Perhilitan dan Perbadanan Putrajaya manakala kedai tersebut terus diarahkan untuk tutup sementara waktu.

“Ini bagi menjalani proses pembersihan dan samak yang berlandaskan kepada hukum syarak dikelolakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” tegas kenyataan tersebut.

Sebarang pakaian dan produk yang telah tercemar turut dilupuskan namun untuk memastikan kelancaran operasi premis, kedai berkenaan ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN