GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap konsisten dengan pendirian tidak membayar walau satu sen pun kepada Kedah untuk mengambil air dari Sungai Muda.
Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berkata, tidak ada tanda-tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan selain tidak akan ada rundingan atau perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kedah sekiranya hak air Pulau Pinang tidak dihormati.
Katanya, perjanjian antara negeri dengan jelas menyatakan Pulau Pinang berhak mengambil air dari Sungai Muda di mana terletaknya sempadan Pulau Pinang dan Kedah.
Lebih-lebih lagi, tambah beliau, konsep hak riparian jelas menyokong hak perairan Pulau Pinang untuk mendapatkan bekalan air dari Sungai Muda, bukannya mengambil air dari Kedah.
“Sebahagian daripada Sungai Muda mengariskan sempadan Kedah dan Pulau Pinang di mana kedua-dua negeri mempunyai hak untuk berkongsinya.
“Hak air sungai seperti yang disahkan oleh Perlembagaan membenarkan negeri menggunakan air jika sumbernya berada dalam kawasan negeri,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.
Semalam, Kerajaan Negeri Kedah menegaskan tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, untuk itu kerajaan negeri berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.
Menurut Ramasamy, terdapat keputusan mahkamah dan undang-undang sebelum ini yang menetapkan hak menggunakan sumber air di dalam sempadan negeri atau negara tersebut secara jelas dan tegas.
Sehubungan itu, katanya, Muhammad Sanusi tidak mempunyai asas undang-undang bahkan Perlembagaan dalam tuntutannya.
“Muhammad Sanusi mungkin menuntut bayaran kerana Sungai Muda berasal dari daerah Ulu Muda di Kedah, jadi airnya adalah milik negeri.
“Walaupun sebahagian besar air berasal dari Kedah, ada yang mengatakan bahawa punca air sungai tersebut dapat dikesan ke bukit-bukit di selatan Thailand.
“Jika demikian, apakah Muhammad Sanusi bersedia membayar kepada pemerintah Thailand bagi sumber air?” soalnya. – UTUSAN ONLINE