KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan menanggung segala kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, ke Kuala Lumpur.
Ahmad Samsuri berkata, bantuan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang itu sedia dihulurkan sekiranya dipersetujui keluarga Allahyarham.
“Perasaan sayu, namun syukur Allahyarham yang dilaporkan hilang di Pantai Alur Tuman ditemukan.
“Takziah diucapkan buat keluarga mangsa dan didoakan mereka tabah dan sabar menghadapi kehilangan orang tersayang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini hari ini.
Mayat Naim Hariri yang dilaporkan lemas di Pantai Kelulut pada petang Jumaat lalu ditemukan di Pantai Alur Tuman, di Marang hari ini.
Mayatnya ditemukan terdampar di pasir oleh pasukan penyelamat pada pukul 8.55 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi lemas.
Naim Hariri dijadualkan melangsungkan pernikahan dengan Fatin Nabila Huda Ismail, 27, di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di Bukit Payung, Marang pada pukul 10 pagi semalam. – UTUSAN ONLINE