KULAI: Sindiket peminjam wang tanpa lesen atau ah long bukan sahaja melakukan jenayah secara dalam talian, malah mereka juga dikesan merekrut anggota baharu khususnya golongan muda menerusi platform berkenaan.
Tindakan tersebut dipercayai bagi memastikan identiti ketua sindiket selamat sekiranya ahli sindiket terbabit ditahan pihak berkuasa ketika melakukan perbuatan jenayah.
Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor, Chua Jian Boon berkata, ada antara golongan muda usia belasan tahun melibatkan diri dengan sindiket ah long.
Katanya, majoriti daripada mereka berbuat demikian kerana menganggap ia adalah peluang kerja yang menguntungkan berbanding memilih kerjaya lain.
“Kami turut mengesan terdapat beberapa sindiket ah long yang bergiat aktif mencari anggota baharu dengan menggunakan media sosial seperti Facebook.
“Mereka menawarkan peluang kerja termasuk melakukan ugutan kepada peminjam seperti menyimbah cat dengan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi satu tugasan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Jian Boon, arahan kerja yang diberikan kepada ahli baharu sindiket ah long terbabit turut dibuat tanpa bersemuka, sama ada melalui telefon atau secara dalam talian.
“Langkah ini dipercayai bagi memastikan keselamatan orang atasan atau ketua sindiket sekiranya ahli mereka ditahan polis ketika melakukan kegiatan jenayah seperti ugutan.
“Disebabkan itu apabila terdapat berita tangkapan sindiket ah long, kebiasaannya melibatkan golongan muda dan tiada sebarang tangkapan dibuat melibatkan ketua sindiket berkenaan,” tambahnya.
Beliau menyeru golongan muda agar membuat keputusan lebih baik dalam usaha mendapatkan pendapatan dan bukan memilih untuk melakukan kerja jenayah bagi mana-mana sindiket.
Kata beliau, pihaknya bersedia membantu mana-mana individu yang mahu mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kemampuan mereka dan yang pasti, kerja tersebut tidak salah di sisi undang-undang.
“Mana-mana pihak khususnya golongan muda yang memerlukan pekerjaan, sila berhubung dengan kami dan kami akan membantu mendapatkan kerja bagi memperoleh pendapatan.
“Kita akan bantu sedaya upaya untuk mereka mendapatkan rezeki dengan cara yang lebih baik,” tambahnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini memaklumkan, sindiket ah long membayar RM2,500 sebulan kepada ahli mereka untuk melakukan kegiatan jenayah.
Bayaran berkenaan difahamkan tidak termasuk komisyen bagi setiap kes ugutan yang dilakukan mereka terhadap peminjam. – UTUSAN ONLINE