Ah long berdepan denda RM1.5 juta  - Utusan Malaysia

Ah long berdepan denda RM1.5 juta 

Wong Kok Hing (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan memberi pinjaman wang secara haram di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ah long berdepan hukuman denda RM1.5 juta selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan memberi pinjaman wang secara haram, sejak Julai tahun lalu.

Tertuduh, Wong Kok Hing, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan satu hingga keenam, Kok Hing  didakwa telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjam wang tanpa lesen sah kepada enam individu yang masing-masing berusia antara 23 hingga 57 tahun. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara 25 Julai 2019 sehingga 12 Disember 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 atau tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin memohon tidak membenarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara, jaminan sebanyak RM50,000 dicadangkan bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Loong Meng Si memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit diabetes sejak lima tahun lalu dan kini menanggung ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 27 Januari depan sebagai sebutan semula kes.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya