ADUN Bersatu, Pas dititah menghadap Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

ADUN Bersatu, Pas dititah menghadap Sultan Nazrin

MOHD. Annuar Zaini ditemui pemberita di luar Istana Kinta di Ipoh hari ini. -- UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dititah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, kesemua ADUN itu dititah menghadap bagi mendengar pendirian mereka dalam penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

“Pagi ini, Presiden UMNO dan Pengerusi UMNO Negeri telah menghadap baginda bagi memaklumkan status terkini (krisis politik Perak).

“Baginda telah menerima maklumat yang dipersembahkan itu (namun) apa yang dipersembahkan itu perlu diyakin dan dibuktikan terlebih dahulu.

“Oleh kerana itu, baginda menitahkan ADUN Bersatu dan Pas datang menghadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Istana Kinta, hari ini.

Menurut Annuar, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar hanya dilaksanakan setelah Sultan Nazrin yakin calon yang dikemukakan itu mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Kita sedang menunggu wakil-wakil dalam kalangan ADUN Bersatu dan Pas untuk datang mengHadap bagi mendengar pendirian mereka dalam penubuhan Kerajaan Negeri Perak,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta di sini pada pukul 9.50 pagi bagi menghadap Sultan Nazrin.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas pertemuan hampir sejam itu memberitahu, UMNO menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perak kepada baginda yang mana mendapat sokongan majoriti ADUN. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN