SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Pelantikan Abdul Aziz, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan mengikut Subseksyen 11 (1) dan (2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Pengurniaan watikah pelantikan (sesi 2021-2023) dan Ahli Pemegang Amanah MAIS serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, seramai 20 orang lagi anggota MAIS menerima watikah pelantikan (sesi 2021-2023).
Menurutnya, mereka terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti Selangor, Ketua Polis Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan 10 lagi anggota daripada lantikan sebelum ini.
“Turut menerima watikah pelantikan adalah lima orang anggota MAIS yang baharu (sesi 2020-2023) iaitu Datuk Dr. Anhar Opir, Tan Sri Mazlan Mansor dan Tan Sri Hashim Meon termasuk dua kerabat, Tengku Datuk Ardy Esfandiari Alhaj Tengku Abdul Hamid dan Datuk Mohd. Effendi Abdullah.
“Pelantikan sebagai anggota MAIS ini berkuat kuasa mulai 1 Januari depan sehingga 31 Disember 2023 dan selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 mengikut Subseksyen 11 (1) dan (2),” katanya.
Tambah beliau, 11 orang Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima watikah pelantikan diketuai Pengerusi Pemegang Amanah MAIS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
“Tan Sri Ambrin Buang pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah MAIS dan kedua-dua pelantikan berkuat kuasa bagi tempoh sama.
“Baginda juga berkenan melantik Mohamad Khalid Share@Shaii selaku Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang berkuat kuasa 16 Disember lalu mengikut subseksyen 58 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” ujarnya. – UTUSAN