KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu larikan diri daripada sekatan jalan, sembilan termasuk penghantar makanan sanggup melawan arus di Petaling Jaya di sini, semalam.
Dalam operasi khas E-Hailing bermula pukul 11.30 pagi hingga 6 petang itu, sembilan termasuk penghantar makanan ditahan.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi dijalankan di Persimpangan 3 Hospital Thomposon, Persiaran Surian dan Kota Damansara, Petaling Jaya itu diketuai Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin bersama lapan pegawai dan 47 anggota.
Jelasnya, operasi itu dilakukan bagi mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
“Tangkapan itu membabitkan enam lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh.
“Hasil siasatan mendapati, penghantar makanan itu dikesan melakukan kesalahan di Jalan Persiaran Surian berhampiran Palm Spring atau Damansara apabila dia bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan dengan melawan arus sepanjang 60 meter.
“Siasatan awal mendapati penunggang itu tidak mempunyai lesen e-hailing dan lesen memandu kelas B2,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Nadzri, sebanyak 16 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan 1987.” jelasnya. – UTUSAN ONLINE