JOHOR BAHRU: Polis Johor mendedahkan terdapat lapan kumpulan kongsi gelap masih aktif termasuk yang kembali melakukan kegiatan jenayah di negeri ini dianggotai lebih 483 ahli.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan kongsi gelap yang kembali aktif itu adalah Geng 36 yang mempunyai keahlian seramai 87 ahli, Geng 04 melibatkan 72 ahli dan Geng 21 yang mempunyai ahli seramai 91 orang.
Selain itu, katanya, kongsi gelap melibatkan kumpulan Jin Jee Tong 360 yang mempunyai 71 ahli diikuti Hong Hong San (61 ahli), Jjee It Hai 21 (25 ahli), Gee Hong San 253 (71 ahli) dan Double 7 (lima ahli).
“Di Johor memang ramai gengster. Pada 2018, banyak kita tangkap gengster untuk didakwa dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).
“Ketika itu, kerajaan membuat keputusan membebaskan mereka dan tuduh di bawah Akta Pertubuhan 1966. Selepas dibebaskan mereka kembali aktif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, kumpulan kongsi gelap tersebut aktif di seluruh negeri ini sejak 1980-an lagi namun terbaharu kumpulan kongsi gelap itu aktif di kawasan Batu Pahat.
Katanya, mereka dipercayai terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah termasuk pengedaran dadah, pelacuran, penyeludupan dan tarik kenderaan.
“Polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan kongsi gelap terbabit. Ada yang kita tangkap dan tuduh di bawah akta sedia ada,” katanya.
Semalam, lima ahli geng kongsi gelap tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kulai berhubung kes mati dibunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) pada 20 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE