KUALA LUMPUR: Sebanyak 46 laporan melibatkan kerugian hampir setengah juta dilaporkan di seluruh negara berkaitan skim pelaburan bersindiket dalam talian ‘Like dan Share’.
Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai platform iaitu ‘Like & Share’; Isharefans; Zan Zan Le; Test Fight dan Queqiaboa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan mendapati kebanyakan mangsa terjerat dengan pelaburan yang diiklankan melalui Facebook.
Menurut beliau, mangsa diberikan nombor telefon untuk dihubungi melalui WhatsApp oleh pengendali pelaburan sebelum suspek berkongsi pautan URL untuk dimasukkan nombor telefon dan akaun bank pelabur.
Jelas beliau, suspek kemudian akan memberikan satu kod untuk melihat jumlah keuntungan yang didaftarkan atas nama mangsa.
“Pada awalnya, aplikasi itu diberi secara percuma dan mangsa dikehendaki ‘Like dan Share’ di beberapa aplikasi seperti Tik Tok dan YouTube dengan setiap 20 klik akan diberi bayaran RM1 sehari serta setiap keuntungan akan dibayar ke dalam akaun mangsa.
“Mangsa ditawarkan pakej dengan nilai bayaran dari RM99 hingga RM9,999 untuk ke peringkat lebih tinggi. Kebanyakan mereka mendapat keuntungan namun hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan. Mangsa juga mendapati pautan turut ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut Zainuddin, pihaknya mengesan tujuh akaun bank yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berasingan melibatkan skim pelaburan tersebut.
Jelasnya, antaranya Agilnetic Solution; Vital Ecology Sdh. Bhd; Revorits IT Solution Sdn. Bhd.; AllUnited; Nice Beta Trading dan Avantegrade Automotive.
“Kita menyerbu sebuah premis di KL Eco City pada 26 November lalu namun mendapati ia telah ditutup.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan tanpa perlu berusaha dan bersusah-payah. Dapatkan maklumat lanjut daripada Semak Mule, Bank Negara Malaysia dan sumber lain bagi mengetahui kesahihan akaun bank,” katanya. – UTUSAN