GURUN: Seramai 38 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, di sini menjalani kuarantin kendiri selepas seorang anggota di balai itu disahkan positif Covid-19, kelmarin.
Ketua BBP Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Noriman Mustaffa berkata, proses kuarantin yang bermula semalam adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan pandemik itu dalam kalangan anggotanya.
“Selepas seorang anggota disahkan positif, saya segera mengarahkan semua anggota dikuarantin di balai untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Saya sendiri turut menjalani ujian saringan awal yang dijalankan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di balai bomba ini selepas proses sanitasi dilakukan semalam,” katanya.
Menurut Muhammad Noriman, anggotanya yang disahkan positif Covid-19 kelmarin kini dikuarantin di Hospital Kuala Nerang, dekat sini.
“Anggota itu tinggal di Bedong dan kita sedang bekerjasama dengan KKM untuk mengesan kontak lain yang terlibat dengannya sebelum dijangkiti.
“Sementara menunggu keputusan ujian saringan, semua anggota menjalani kuarantin kendiri di balai ini,” ujarnya.
Katanya, walaupun menjalani perintah kuarantin, orang ramai di kawasan Guar Chempedak boleh menyalurkan sebarang maklumat kecemasan kepada pihaknya seperti biasa.
“Kita akan membantu memaklumkan maklumat kecemasan itu kepada balai bomba terdekat untuk diambil tindakan.
“Jangan risau, tugas dan tanggungjawab kita akan dilaksanakan oleh rakan lain walaupun anggota balai ini menjalani kuarantin,” katanya. – UTUSAN ONLINE