RANTAU PANJANG: Seramai 37 mangsa dari lapan keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di sini walaupun cuaca baik dan banjir beransur pulih.
Rata-rata mangsa datang dari Kampung Tok Deh yang masih ditenggelami air banjir ekoran limpahan air Sungai Golok.
Menurut infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menunjukan trend menurun berbanding beberapa hari lalu yang mencecah paras bahaya.
Setakat pukul 4 petang ini, paras air sungai itu berada di paras amaran iaitu 8.68 meter.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman negeri ini pada petang ini. – UTUSAN ONLINE