301 ditahan dengan ramai ingkar SOP jarak fizikal - Utusan Malaysia

301 ditahan dengan ramai ingkar SOP jarak fizikal

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 301 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 298 dikompaun manakala tiga direman dengan kes tertinggi 149 kerana gagal mematuhi penjarakkan fizikal. 

 “Ini diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (77), menyediakan peralatan merekod butiran (63), aktiviti pusat hiburan (2) dan lain-lain (10),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 Jelasnya, sejumlah 2,506 pasukan pematuhan meliputi 11,811 anggota memantau 2,799 pasar raya, 4,447 restoran, 1,651 penjaja, 1,122 kilang, 3,176 bank dan 589 pejabat kerajaan.

 Turut dipantau pasukan itu di seluruh negara, ujar beliau, ialah sebanyak 1,044 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air dan 125 terminal pengangkutan udara

 Sejumlah 31 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi kekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan wabak Covid-19.

 “Sebanyak enam buah kenderaan darat juga dirampas manakala 107 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” katanya..

 Dalam pada itu, 36 operasi sanitasi awam dijalankan meliputi 14 zon merah, empat zon jingga, tujuh zon kuning dan dua zon hijau melibatkan sembilan negeri dan dua wilayah persekutuan.

 Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 7,362 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

 “Sejumlah 87,065 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 74 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

 Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat pemeriksaan di 12 tapak binaan seluruh negara dan kesemuanya didapati mematuhi SOP telah ditetapkan

 Ismail Sabri menyeru semua pihak bersama-sama berdoa agar kehadiran tahun 2021 membuka lembaran dan sinar baharu khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19. 

 “Sentiasa patuhi SOP dan amal kawalan kendiri demi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat yang tentunya tahun baharu 2021 lebih mencabar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya