PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dalam proses melengkapkan keseluruhan 30 pertuduhan terhadap Brightway Holdings Sdn. Bhd. dan dua subsidiarinya.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, dua anak syarikat terbabit yang turut dikenakan pertuduhan itu dikenali sebagai Biopro (M) Sdn. Bhd. dan La Glove (M) Sdn. Bhd.
“Ia susulan operasi penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 di Klang baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi masing-masing dibuat pada 21 Disember dan 24 Disember lalu dan semua kertas siasatan di peringkat akhir penyediaan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Antara kesalahan itu, menurut kenyataan tersebut, ialah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah jabatan berkenaan di bawah Seksyen 24D Akta 446.
“Juga pelanggaran akta sama melibatkan penyediaan kemudahan tidak memenuhi spesifikasi standard minimum ditetapkan iaitu Jadual Subperaturan 3 (1)(2)(i),” katanya..
Kenyataan itu memberitahu, sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku terbabit akan dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM50,000 bagi setiap kesalahan dilakukannya.
Laporan berhubung kompaun RM1,000 ialah kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang.
“Tindakan kompaun itu sebenarnya tiada kaitan dengan susulan penguatkuasaan Akta 446 yang terletak di bawah bidang kuasa pihak jabatan ini sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE