BUTTERWORTH: Seramai tiga lelaki ditahan polis semalam selepas didapati mencuri sejumlah ikan laga bernilai RM500 di sebuah rumah di Kampung Aman, Kepala Batas, dekat sini Rabu lalu.
Kesemua mereka yang berusia 19, 22 dan 36 tahun itu adalah suspek sama yang dipercayai terlibat dalam kes mencuri sebatang pokok bonsai dan menjualnya di Facebook minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian kecurian ikan laga berkenaan disedari pemiliknya iaitu remaja berusia 17 tahun yang mendapati ikan-ikan yang diletakkan di hadapan rumahnya hilang.
“Ibu saudara mangsa memberitahu melihat tiga lelaki masuk ke dalam kawasan rumah mangsa kira-kira pukul 6 pagi Rabu lalu.
“Dia kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tiga lelaki bertopi keledar masuk ke kawasan hadapan rumah tempat dia menyimpan ikan laga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, suspek dilihat mengambil beberapa ekor ikan yang tidak dipastikan jumlahnya menggunakan sauk namun melarikan diri selepas terdengar teguran ibu saudara mangsa.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE