160 dicekup, tujuh tokan berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

160 dicekup, tujuh tokan berdepan hukuman gantung

ZULKIFLEE Rashid (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Op Tapis dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka, hari ini. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai tujuh tokan dadah berdepan hukuman gantung selepas dicekup sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dalam Op Tapis yang dijalankan tiga hari sehingga semalam.

Ketujuh-tujuh mereka berusia antara 21 tahun hingga 45 tahun itu dicekup dalam empat serbuan di tiga daerah dengan masing-masing dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah jenis syabu dan heroin.

Turut dicekup sepanjang operasi tersebut adalah 160 individu berusia 18 tahun hingga 68 tahun yang dikesan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, dua tokan berusia 21 tahun dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Krubong selepas didapati memiliki dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM4,650 pada 8 Disember lalu.

Pada hari sama, katanya, seorang lagi suspek berusia 45 tahun diberkas dalam ladang kelapa sawit di Kuala Linggi, Alor Gajah dengan rampasan dadah heroin bernilai RM2,700.

“Kelmarin pula, kita mencekup seorang tokan berusia 21 tahun di sebuah rumah di Merlimau, Jasin yang menyimpan dadah bernilai RM2,450.

“Tiga lelaki lagi dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Rambai, Jasin dan merampas dadah syabu serta heroin bernilai RM2,500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Kata Zulkiflee, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sepanjang Op Tapis selama tiga hari itu, polis merampas keseluruhan 144.46 gram dadah jenis syabu dan heroin (256.55 gram), ganja (21.25 gram), air ketum (225 liter), daun ketum (sembilan kilogram) dan 125 kotak rokok seludup bernilai keseluruhan RM100,000.

“Kesemua 160 suspek lain termasuk empat wanita yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Kita juga menyita sebuah kereta jenis Honda dan enam buah motosikal bernilai RM80,000 yang dipercayai digunakan suspek bagi aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya