BENTONG: Sebanyak 12,000 pelitup muka dan keperluan makanan disumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada lebih 200 petugas barisan hadapan yang ditempatkan bagi menangani Kluster Tembok Mempaga di Penjara Bentong, di sini.
Sumbangan disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong kepada wakil petugas barisan hadapan di Kompleks Penjara Bentong, hari ini.
Jasvir berkata, sumbangan itu membuktikan Menteri Besar mengambil berat dan prihatin terhadap petugas barisan hadapan yang berdepan risiko serta tugas berterusan dalam menangani pandemik Covid-19.
“Jadi sebagai bantuan awal, Menteri Besar menyumbangkan pelitup muka dan keperluan makanan yang diperlukan petugas-petugas barisan hadapan yang ditempatkan di Penjara Bentong.
“Keperluan petugas barisan hadapan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lancar dan selamat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Kompleks Penjara Bentong di sini, hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.
Kluster Tembok Mempaga yang melibatkan Penjara Bentong merekodkan 288 kes sehingga semalam.
Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengarahkan semua petugas dan ahli keluarga Penjara Bentong dikuarantin sehingga selesai disaring dan disahkan negatif.
Menurut Jasvir, pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam membanteras pandemik Covid-19 sentiasa dihargai Menteri Besar.
Katanya, sumbangan segera itu diharap dapat membantu petugas barisan hadapan yang bertugas dan pihaknya akan terus menyalurkan bantuan yang diperlukan. – UTUSAN ONLINE