113 sokong Anwar: Mohamad Sabu juga menunggu - Utusan Malaysia

113 sokong Anwar: Mohamad Sabu juga menunggu

MOHAMAD Sabu ketika berucap menyempurnakan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Ke-5 di Senawang, Seremban hari ini. Yang hadir sama, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd. Rahman (duduk). - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui menantikan perkembangan laporan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan mencukupi dalam kalangan ahli Parlimen bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya juga sedang menunggu seperti orang lain menunggu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Ke-5 di Senawang, dekat sini hari ini.

Menurut laporan beberapa media semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dikhabarkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi untuk mengemukakan bukti beliau kini mempunyai jumlah 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Amanah belum membincangkan isu pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kerusi belum lagi kita bincang di peringkat nasional dan negeri, belum lagi,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan sebelum itu, beliau memaklumkan, tumpuan diberikan parti itu bagi menghadapi PRU-15 bermula awal tahun hadapan.

“Oleh itu, dalam usaha kita mencatur politik untuk ambil alih semula pemerintahan, pada masa yang sama kita jangan lupa tumpuan utama mulai Januari tahun depan iaitu menyediakan jentera PRU.

“Ia termasuk mengenai perundingan kerusi di peringkat awal hendaklah dimulakan supaya dapat kita tumpu mana-mana kerusi yang diberi kita bertanding termasuk kerusi yang kita boleh jangka menang, itu semua jadi tumpuan kita,” katanya.

Ditanya mengenai pergolakan yang sedang berlaku dalam Amanah Negeri Sembilan, bekas Menteri Pertahanan itu berpandangan, ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam sesebuah parti politik.

“Itu perkara biasa dalam sesebuah parti, pergolakan dalam parti, Amanah akan cari jalan terbaik untuk berbincang dan cari jalan penyelesaian. Proses ini biasa, semua parti menghadapi benda ini dan saya yakin Amanah akan jadi lebih kuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya