10kg syabu dirampas di Genting Highlands - Utusan Malaysia

10kg syabu dirampas di Genting Highlands

ABD. Jalil Hassan (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi di Genting Highlands dalam sidang akhbar di IPD Bentong, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 10 kilogram dan erimin seberat 0.22 gram dalam serbuan di Genting Highlands, di sini kira-kira pukul 7.45 malam pada 10 Disember lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri itu menahan seorang lelaki Cina berusia 48 tahun berasal dari Petaling Jaya, Selangor dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah restoran di pusat peranginan terkenal berkenaan.

Katanya, dadah jenis syabu dalam 10 bungkusan teh Cina kedap udara itu dipercayai diperoleh dari negara jiran. 

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM488,788 yang boleh dibekalkan kepada 20,776 penagih khususnya penduduk tempatan dan pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini. 

Yang hadir sama Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.

Abd. Jalil berkata, rampasan dadah di Genting Highlands tersebut adalah yang terbesar di daerah ini.

“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar daerah Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. 

“Dengan tangkapan ini, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan,” katanya. 

Beliau berkata, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah.

Katanya, suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya