PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan pembinaan 10,000 rumah mampu milik di bawah harga RM200,000 seunit khususnya untuk golongan muda bagi warga Wilayah Pesekutuan.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya maklum ramai golongan muda ingin memiliki rumah sendiri di ibu kota khususnya, namun harga rumah mampu milik ditawarkan masih dalam kategori mahal.
Katanya, projek pembinaan Rumah Prihatin bakal dibina mulai awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Pembinaan rumah mampu milik ini melibatkan agihan sebanyak 6,000 unit di Kuala Lumpur, 3,000 unit di Putrajaya dan 1,000 unit lagi di Labuan bagi pusingan pertama.
“Jika sebelum ini kita tawarkan rumah mampu milik dengan harga RM300,000 bagi seunit tetapi untuk rumah prihatin ini pula harga syiling yang ditetapkan tidak melebihi RM200,000 seunit,” katanya pada majlis penyerahan bantuan sumbangan baucar Back To School berjumlah RM100,000 kepada 1,000 pelajar- pelajar sekolah di Putrajaya.
Annuar berkata, beberapa lokasi sekitar Putrajaya dikenal pasti bagi pembinaan rumah mampu milik itu antaranya Presint 5, Presint 7, Presinit 14 dan Presint 19.
Katanya, keutamaan diberikan kepada golongan muda yang baru berkahwin untuk memastikan mereka memiliki aset rumah.
“Sebenarnya, ramai mahu menetap dan memiliki rumah di ibu kota namun masih tidak mampu membelinya.
“Jadi, dengan projek perumahan bakal kita laksanakan ini, kita akan pastikan golongan muda dapat membeli rumah dengan kemampuan kewangan yang ada.
“Pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal Perumahan Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kementerian dan Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan harian bernilai RM20,000 kepada 10 surau di Putrajaya.
Katanya, Sudut Infaq adalah salah satu program di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dalam mengurangkan beban tanggungan keluarga, membina keupayaan bagi meningkatkan pendapatan seterusnya mensejahterakan kehidupan warga Putrajaya.
“Sudut infaq ini digerak dan dipromosikan sejak t2018 dan sehingga kini terdapat 10 sudut infaq di Putrajaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE