10 tan sarung tangan getah bernilai RM250,000 dilarikan penjenayah - Utusan Malaysia

10 tan sarung tangan getah bernilai RM250,000 dilarikan penjenayah

PREMIS yang dijadikan gudang menyimpan sarung tangan getah di Kepala Batas, Pulau Pinang yang dipecah masuk penyamun Sabtu lalu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pengedar sarung tangan getah kerugian kira-kira RM250,000 selepas 10 tan metrik sarung tangan yang disimpan di dalam sebuah gudang dipercayai dilarikan penjenayah, Sabtu lalu.

Kejadian itu disedari lelaki pemilik perniagaan berusia 39 tahun selepas mendapati kesan pecah masuk ke premis menyimpan produk tersebut di Penaga, Kepala Batas dekat sini, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada tingkap dan pintu masuk gudang itu yang dijadikan stor selain cermin tingkap ditanggalkan.

“Sebanyak 10 tan metrik sarung tangan bernilai RM250,000 yang siap diasingkan iaitu produk yang elok dan rosak didapati hilang.

“Mangsa menjalankan perniagaan itu dengan membeli sarung tangan getah terus dari kilang sebelum mengasingkannya di gudang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, siasatan mendapati premis berpagar zink itu disewa mangsa untuk menyimpan yang mana kerja mengasingkan sarung tangan dilakukan lima pekerja.

Ketika kejadian, ujar beliau, tiada pengawal keselamatan yang bekerja selain premis itu juga tidak dilengkapkan dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Kejadian itu juga dikatakan kali kedua berlaku, namun mangsa tidak membuat laporan sebelum ini kerana jumlah barang yang hilang sedikit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-575 9122.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya